Sunday, February 6, 2011 | By: fatamorgana

6 Perkara yang Dibenarkan Mengumpat Mengikut Syara'

Segala puji bagi Allah s.w.t yang menghidup dan mematikan kita. Yang memberi nikmat iman dan Islam. Nikmat kedua sebagai umat nabi s.a.w. tidak lupa juga selawat dan salam keatas penghulu kita nabi Muhammad s.a.w, isteri-isteri baginda, keluarga baginda, para sahabat yang pemberani dan juga mereka-mereka yang mengikuti sahabat sehingga ke hari akhirat.

Amma Ba'du,

Di dalam agama kita tidak boleh mengatakan perbuatan mengutuk seseorang atau mengumpat seseorang adalah haram semata-mata, ini kerana di dalam Islam terdapat 6 perkara yang dibenarkan bagi seseorang mengumpat.

Untuk perincian dan tafsilan penghujahan kami ini, secara “Tabarrukan Wa Tawasullan”, kami bawakan apa yang dinyatakan di dalam Kitab Siarus Salikin Fi Thariqatis Sadaatis Suffiyah oleh Al-’Allamah Al-Arifu Billah Asy-Syaikh Abdussamad Al-Falimbani, Juzu’ 3, m/s 87-89, baris 12 dari atas. Beginilah ‘Ibarat Nasnya;



(Sahdan) Ketahuilah oleh mu bahawasanya sekalian kelakuan mengumpat itu Haram dan tiada diharuskan (tiada dibolehkan) oleh Syara’ melainkan 6 perkara.

Pertama, At-Tazallum , iaitu Kerana Dizalimi atau Untuk Mencari Keadilan.

Yaitu, mengkhabarkan akan kejahatan orang yang zalim akan dikau kepada Qadi, supaya menghukumkan ia akan dia

Atau, mengkhabarkan akan kejahatan Qadi yang zalim akan dikau kepada Sultan, supaya menghukumkan ia akan dia. Maka, yang demikian itu harus (boleh).

( Iaitu, mengatakan kepada Qadi bahawa Si Fulan bin Si Fulan menzalimi diri saya. Atau, mengatakan kepada Sultan bahawa ada seorang Qadi telah menzalimi diri saya. – Pent.) 


Yang Kedua , iaitu Kerana Mencari Pertolongan Kerana Mahu Menolak Kemungkaran, dan Mahu Menolak Perkara-perkara Maksiat Supaya Perkara Itu Jadi Bagus.

Ertinya, harus (boleh) mengkhabarkan akan kejahatan orang kepada orang besar atau raja kerana sebab meminta tolong akan dia atas menolakkan kejahatan orang itu.

Dan, harus (boleh) pula mengkhabarkan akan kejahatan orang yang berbuat maksiat kepada orang besar atau kepada raja-raja, kerana sebab meminta tolong akan dia supaya mengembalikan ia, akan dia orang yang berbuat maksiat itu kepada berbuat kebajikan. 


Ketiga, Al-Istifta’ , iaitu Feminta Fatwa Daripada Mufti.

Yakni, harus (boleh) mengkhabarkan kejahatan orang kepada Mufti kerana menuntut fatwa kepadanya, seperti berkata seorang kepada Mufti,

“Bapa ku atau saudara ku, ia menzalimi akan daku dengan berbuat kejahatan akan daku. Apa hukumannya, dan betapa (apakah) jalan yang melepaskan akan yang demikian itu?”

Seperti apa yang diriwayatkan daripada perempuan yang bernama Hindun. Maka, mengadu ia akan hal suaminya, Aba Sufyan kepada Nabi saw dengan katanya;

“Bahawasanya Aba Sufyan laki-laki kikir (kedekut). Padahal ia tiada memberi akan daku dan akan anak ku makanan dan pakaian yang memadai akan daku. Dan, adakah harus (boleh) aku mengambil akan makanan atau pakaian itu dengan tiada ia mengetahui akan yang demikian itu?"
Maka, Sabda Nabi saw,
“Ambil olehmu akan makanan dan pakaian itu yang memadai akan dikau dan akan anakmu dengan yang Ma’ruf (Kebaikan), dan jikalau tiada ia mengetahui akan yang demikian itu sekalipun.”

Keempat , iaitu Mengingatkan Orang Islam Akan Kejahatan.


Ertinya, harus mengkhabarkan kejahatan orang kerana menakuti akan orang Muslim daripada kejahatan orang itu.


Apabila engkau lihat akan seseorang baharu menuntut ilmu itu. Padahal, ia berulang pergi pada orang yang bid’ah. Yakni orang yang tiada baik iktiqadnya atau orang yang tiada baik agamanya. Maka harus engkau khabarkan kepadanya akan kejahatan orang itu supaya jangan ia mengaji kepadanya atau supaya jangan ia bersahabat dengan dia kerana bersahabat dengan orang demikian itu membawa kepada membinasakan akan agama.

(Dan demikian lagi) Jika engkau lihat akan seseorang yang berulang-ulang pergi datang mengaji kepada orang yang fasiq atau Ulama yang jahat. Maka harus engkau khabarkan kepadanya akan kejahatan orang yang fasiq dan kejahatan ‘ulama yang jahat supaya menjauhi orang itu daripada berguru kepada orang yang demikian itu.

Tetapi, (hendaklah) engkau qasadkan yang demikian itu kerana Allah Taala dan jangan engkau qasad kerana dengki akan dia.

(Dan demikian lagi) Jika engkau lihat akan seseorang berkehendak membeli akan sahaya (hamba). Padahal engkau ketahui akan sahaya itu pencuri atau berbuat maksiat. Maka harus engkau khabarkan akan orang yang berkehendak membeli akan dia, akan kejahatan sahaya itu supaya menjauhi ia daripada membeli akan sahaya itu.




(Dan demikian lagi) Jikalau bertanya seseorang akan dikau akan hal orang yang dijadikannya akan saksi itu, jikalau engkau ketahui akan orang itu jahat. Maka harus engkau khabarkan akan kejahatan orang itu.

(Dan demikian lagi) Jika orang yang berkehendak beristeri. Maka bertanya ia akan dikau akan perempuan yang hendak diperbuatnya isteri itu. Padahal, ia jahat perbuatannya. Maka harus engkau khabarkan akan kejahatan perempuan itu.

(Dan demikian lagi) Jika seseorang berkehendak mempersuamikan akan anaknya perempuan, dengan seorang laki-laki yang jahat. Maka harus engkau khabar kepada bapa perempuan itu akan kejahatan laki-laki itu dan barang sebagainya.

Seperti Sabda Nabi saw, 
“Sebutkan oleh kamu akan orang yang Fajir, yakni orang yang fasiq itu akan kejahatan yang ada di dalamnya itu supaya menjauhi akan dia itu oleh manusia.”

Dan yang kelima

Harus menyebutkan akan aib orang yang tiada diketahui akan dia, melainkan dengan disebutkan akan aibnya itu seperti Si Fulan yang Buta. Atau, si fulan yang tempang. Atau, barang sebagainya. 


Dan yang keenam

Harus menyebutkan akan kejahatan orang yang telah masyhur akan fasiqnya itu, seperti orang yang masyhur dengan berzina. Atau, yang masyhur dengan berliwat. Atau, orang yang masyhur dengan meminum arak. Atau, barang sebagainya.

Dan, kata Hasan Al-Basriyy Rahimahullahu Taala,
“Ertinya, tiga orang tiada haram atas orang yang mengumpat bagi mereka itu.

  1. Orang yang bidaah.
  2. Orang yang Fasiq yang menzahirkan ia akan maksiatnya itu sekira-kira jikalau dikata oleh orang akan kejahatannya itu, nescaya tiada ia benci akan yang demikian itu.
  3. Raja-raja yang zalim. Maka tiada haram atas seseorang menyebutkan akan pekerjaannya yang zalim itu.”
Kesimpulannya, terdapat enam jenis umpatan yang dibenarkan di dalam Syarak.

Oleh itu, jika kami ada menyatakan bahawa seseorang itu mempunyai keburukan atau sesuatu jemaah itu mempunyai keburukan. Maka, inilah yang dikatakan sebagai "tahzirul muslimin minal syarri", iaitu mengingatkan orang Islam akan kejahatan seseorang.

Sedarlah wahai para pembaca yang budiman sekalian! Tujuan kami menyebarkan peringatan ini bukan sebagai memecah belahkan Umat Nabi saw seperti apa yang didakwa oleh orang-orang Jahil agama.

Tetapi, sebagai menyampaikan Perintah dari Allah swt kepada kami, agar melakukan ‘Al-‘Amru Bil Ma’ruf (Mengajak Manusia ke arah kebaikan) dan Nahyu Anil Munkar (Mencegah daripada Kemungkaran). Iaitu, dengan menyebarkan Aqidah dan Tauhid yang benar, dan mencegah manusia dari terjerumus ke lembah ‘Bidaah Aqidah dan Tauhid’ yang mungkar.

diambil dari Mohd Fahmi Zakaria:

wallahu aa'lam

2 comments:

JAMALUDDIN ABU BAKAR said...

ALLAHU...syukran ya Syeikh...Jazakallah Khairan Kathira..Amin

fatamorgana said...

amin..mudh2hn dpt bg manfaat pada smua.. =)

Post a Comment