Tuesday, January 11, 2011 | By: fatamorgana

Kisah Kanak-kanak yang Pintar

Gambar sekadar hiasan

          Dihikayatkan bahwa ada seseorang bernama Dahri, datang dia pada zaman Hammad (guru Imam Abi Hanifah) dan dia telah memanggil kesemua ulama’ kerana hendak berhujah kepada mereka. Katanya, “kata kamu Allah itu ada, maka mana tempatnya kerana tiada suatu pun benda yang wujud itu tiada tempatnya?”. Maka, beberapa ulama’ itu telah dikalahkan oleh Dahri. Selepas itu, berkata lagi Dahri kepada sekalian manusia, “adakah lagi tinggal daripada ulama’ kamu seorang?”. Maka sahut mereka, “ada, iaitu Hammad”. Kemudian berkatalah Dahri,”hai khalifah, hadirkan olehmu akan dia kepadaku supaya berhujah ia manghadapku”. Lalu, khalifah pun menyeru akan Hammad, dan berkatalah Hammad,”beri tangguh olehmu akan daku malam ini”.

          Keesokan paginya, datang Abu Hanifah menemui gurunya. Tatkala itu, Abu Hanifah masih lagi kecil. Dia melihat gurunya itu di dalam keadaan terlalu dukacita. Lalu, Abu Hanifah bertanya,”mengapakah engkau bersedih?”. Jawab Hammad,”bagaimana aku tidak dukacita, khalifah telah memanggil aku untuk berhujah dengan Dahri dan telah menghimpunkan segala ulama’, dan semalam semasa aku tidur, aku telah bermimpi buruk”. Bertanya lagi Abu Hanifah,”apakah ia?”. Hammad menjawab,”aku melihat akan satu dusun (kampung) yang sangat luas lagi cantik. Padanya ada satu pohon yang berbuah. Tiba-tiba, keluar daripada satu penjuru kampung itu seekor babi dan dia memakan buah-buahan pohon tersebut sehingga habis dengan daunnya serta cawangannya (dahan dan ranting) hingga tinggal batang pokok sahaja. Lalu, keluar daripada umbi pokok itu seekor harimau dan babi itu mati ditangkap harimau tersebut”. Abu Hanifah berkata,”sesungguhnya Allah telah mengurniakan kepadaku ilmu ta’bir (menilik) mimpi dan mimpi ini baik untuk kita dan buruk bagi musuh kita. Maka, jikalau engkau izinkan untukku menta’bir mimpi itu, nescaya akan ku ta’birkan dia untukmu. Maka berkatalah Hammad,”ta’birkan olehmu, ya Nu’man (nama Abu Hanifah)”. Kata Abu Hanifah,”dusun yang luas lagi cantik itu adalah agama Islam dan pohon kayu yang berbuah itu adalah ulama’ dan pohon yang tinggal itu adalah engkau. Adalah babi itu Dahri dan harimau yang membunuh babi itu aku”.

          “Maka berjalanlah engkau dan aku akan bersama engkau. Maka dengan berkat hemah dan berkat hadrah engkau, akanku berkata-kata kepadanya dan akanku patahkan hujahnya“,kata Abu Hanifah. Maka sukalah Hammad itu dan berdirilah keduanya ketika itu jua menuju ke masjid jamek. Maka datang khalifah dan sekalian manusia pada majlis Hammad tersebut iaitu tempat Hammad menuju (masjid jamek) dan berdirilah Abu Hanifah disisi gurunya sambil memegang baju gurunya dan bajunya. Selepas itu, datang Dahri dan naik ia di atas mimbar dan bermulalah perbualan antara mereka:

Dahri: Siapakah yang akan menjawab solanku?

Abu Hanifah: Apakah soalan kamu itu,nyatakan olehmu dan orang yang mengetahui akan menjawab persolanmu itu.

Dahri: Siapa engkau hai kanak-kanak?berani engkau berkata-kata kepadaku sedangkan beberapa orang yang mempunyai kemegahan dan orang yang tua-tua dan serban yang besar-besar dan mempunyai kain yang mewah dan lengan baju yang luas-luas, lemah mereka itu dengan ku, maka betapa engkau berkata kepadaku sedangkan umur engkau masih setahun jagung dan hina disisiku?

Abu Hanifah: Tiada menaruh oleh Allah taála akan ketinggian dan kebesaran itu melalui orang-orang yang mempunyai serban yang besar-besar dan kain baju yang mewah-mewah dan tangan baju yang luas-luas tetapi ditaruh oleh Allah itu bagi ulama’ seperti firmanNya,“(maksudnya) dan segala mereka yang di datangkan bagi mereka itu akan ilmu itu beberapa darjat“.

Dahri: Adakah engkau akan menjawab solanku?

Abu Hanifah: Akan ku jawab akan soalan engkau denga taufiq Allah.

Dahri: Adakah Allah itu wujud? jikalau ya, di mana tempatnya kerana setiap yang wujud itu pasti ada tempatnya.

Abu Hanifah: Bahkan Allah itu wujud, tapi dengan tiada bertempat. Buktinya terdapat pada diri engkau.

Dahri: Buktikan.

Abu Hanifah: Tiadakah pada diri kamu itu nyawa?

Dahri: Bahkan. Mestilah ada.

Abu Hanifah:  Jikalau begitu dimana letaknya? di kepala kamu kah, atau di perutmu kah, atau di kaki kamu?

Maka tercenganglah Dahri kerana tidak dapat menjawab persoalan Abu Hanifah. Kemudian Abu Hanifah meminta air susu untuk dibuat dalil yang lain.

Abu Hanifah: Tiadakah pada air susu ini minyaknya (lemak)?

Dahri: Bahkan (ada).

Abu Hanifah: Jikalau begitu, di mana letaknya? di ataskah, atau di bawahkah?

Sekali lagi Dahri terdiam tiada dapat dia menjawab akan persoalan itu.

Abu Hanifah: Seperti tiada dapat bagi roh itu tempat pada tubuh dan tiada pula bagi minyak (lemak) itu pada air susu itu, begitu juga Allah tiada tempatNya pada kejadianNya.

Dahri: Apa ada dahulu daripada Allah dan apa kemudian daripadaNya?

Abu Hanifah: Tiada suatu pun sebelumNya dan tiada satu pun kemudian daripadaNya.

Dahri: Adakah boleh difikir (logik) ada sesuatu yang wujud tetapi tiada sebelumnya dan tiada sesudahnya?

Abu Hanifah: Dalil itu juga ada pada badan kamu.

Dahri: Buktikan.

Abu Hanifah: Apakah yang ada sebelum ibu jari kamu dan apakah yang ada selepas jari kelingkingmu?

Dahri: Tiada sesuatu sebelum ibu jari ku dan tiada juga sesuatu selepas jari kelingkingku.

Abu Hanifah: Demikian juga Allah taála, tiada sesuatu sebelumNya dan tiada sesuatu selepasNya.

Dahri: Tinggal satu lagi soalan padaku untukku tanyakan.

Abu Hanifah: Akan ku jawab, Insya-Allah..

Dahri: Apa kelakuan (kerja) Allah sekarang ini?

Abu Hanifah: Cara engkau ini terbalik. Sepatutnya yang menjawab itu di mimbar (di atas) dan yang bertanya itu di bawah mimbar. Jika engkau turun dan aku naik, nescaya aku akan menjawab solan engkau itu.

Maka Dahri pun turun dan Abu Hanifah naik ke atas mimbar.

Dahri: Sekarang, apakah jawapannya.

Abu Hanifah: Kelakuan (kerja) Allah sekarang ini menggugurkan yang batil seumpama kamu dari atas ke bawah dan menaikkan yang hak (benar) umpama aku dari bawah ke atas.

Maka berlalulah Dahri dan putus hujahnya.

Rujukan:
Kitab Aqidatun Najin fii Ílmi Usuluddeen (I’tiqad segala orang yang kelepasan daripada sesat dan bidáh pada bicara usuluddin), atas mazhab Ahlussunnah wal Jamaah (Mazhab Aqidah) dengan bahasa melayu karangan Al-álim Al-államah Al-fahamah As-sheikh Zainulábidin bin Muhammad Al-fatoni.
m/s 7, baris ke-enam dari bawah hingga m/s 9 baris ke-empat dari atas.

wallahu aa'lam

4 comments:

Ir. Jamal said...

Alhamdulillah..kisah nie dalam Kitab Fathul Majid bagi Syeikh Nawawi Al-Banteni pun ade jugak diceritakan..MasyaAllah..

:-)

fatamorgana said...

syukran ya sheikh..fathul majid ana tak brani ambil sbb ana kurang familiar dgn kitab tersebut..syukran sbb kongsi ilmu.. =)

Ir. Jamal said...

Naam...tapi hati-hati sebab ade Kitab Fathul Majid yang Wahabi punye...nama kitab sama tapi pengarang lain2..

lagipun Kitab Fathul Majid nie Bahasa Arab..al-faqir tahu pun sebab Syeikhuna penah bukak kisah nie..Allahu

fatamorgana said...

naam..teringat pesan Syeikhuna..syukran sheikh sbb bg ingatan.. =)

Post a Comment